Patung itik ‘kembali’ selepas 5 tahun mengelilingi dunia

Itik getah milik keluarga Troiano ini merupakan hadiah kepada anak perempuan mereka, Alicia yang diterima dari jiran sebelah rumah. Itik tersebut dinamakan Baldie dan sering ditinggalkan di dalam kolam, sebagai hiasan laman.

Satu hari, Baldie hilang dari tempatnya, tetapi Troioanos tidak begitu kisah tentangnya. Sekurang-kurangnya tidak sehingga beberapa bulan kemudian apabila mereka menerima poskad kononnya ditulis oleh patung itu, dengan pos yang dicop dari Kuwait City.

Di dalamnya, itik getah itu menceritakan kepada keluarganya tentang perjalanannya ke Amsterdam, Honduras dan pelbagai lokasi lain di keseluruhan Timur Tengah, dan mengarahkan mereka untuk mengikuti perjalanannya di laman Facebook “Gale Ducky”.

Sepanjang lima tahun itu, keluarga Troiano terus menerima khabar dari pengembaraan patung tersebut. Gambar di dalam Facebook Gale Ducky menunjukkan itik tersebut mengunjungi pelbagai negara termasuk Caribbean, Mexico, Korea Selatan, Hawaii, Zimbabwe, Iceland, Panama, beberapa negara di Eropah malah di beberapa bandar di Amerika Syarikat. Pengembaraan tersebut bukan hanya diikuti keluarga Troiano, malah media tempatan serta 600 peminatnya di Facebook.

Selepas melawat kira-kira 20 negara berbeza di seluruh dunia, Gale Ducky akhirnya pulang bulan ini. Jennifer Troiano bangun awal satu hari untuk memeriksa e-mel dan bersedia untuk menaiki basikal, apabila dia melihat kemas kini dalam Facebooknya dari Gale Ducky. Gambar terkini menunjukkan bahawa mainan kuning itu sedang duduk di atas tepi jalan dengan sebuah beg.

“Saya melihat gambar tersebut dan saya berkata, itu kaki lima saya.,” kata wanita itu mengimbas kembali.

“Tunggu kejap, dia dah balik! Dia ada di jalan masuk rumah!,” sambil berjalan ke luar, dia dapat melihat itik getah itu menunggunya dengan sebuah beg pakaian di hadapan garaj mereka.

Kandungan bagasi tersebut kebanyakannya adalah peta dari pelbagai tempat yang itik tersebut telah melawat, tetapi terdapat juga beberapa barangan istimewa, termasuk gelang persahabatan, sepasang cermin mata hitam gergasi dan topi Disneyland.

Terdapat juga tiket kereta api, risalah pelancongan dan kad perniagaan Gale Ducky dengan mesej ‘Ikuti saya di Facebook’ di belakangnya. Pemilik disebalik projek hebat ini masih kekal misteri dan ternyata telah menghabiskan banyak tenaga dan masa untuk menghasilkan projek misteri ini.

Related Articles