PATI lolos sembunyi di ladang jambu

SHAH ALAM: Sekumpulan 13 pendatang tanpa izin (Pati) yang meloloskan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor memberikan alasan mereka ditipu sindiket pekerjaan apabila cuba meminta perlindungan daripada seorang penjaga kebun jambu di Kampung Senta.

Bagaimanapun, tidak terpedaya dengan alasan itu, penjaga kebun warga Indonesia yang dikenali sebagai Ali, 40-an, itu kemudian melaporkan perkara ini kepada Jabatan Imigresen.

Ali yang sudah lebih 10 tahun bekerja di ladang seluas 80.9 hektar di Bidor itu berkata, ketika sedang bekerja, beliau disapa oleh salah seorang pendatang itu, yang turut mengadu lapar.

“Mereka kata, mereka kena tipu kerja, mereka lapar, mereka mahu berlindung daripada hujan. Hanya ada seorang yang pandai berbahasa Melayu,” katanya ketika ditemui di kebun itu, lapor Bernama.

“Saya tahu mereka memang tahanan yang dicari, jadi saya bagi mereka makan, minum, bagi masuk rumah dulu sebelum laporkan kepada Imigresen.”

Terdahulu, sekumpulan 13 pendatang berkenaan ditahan polis ketika berlindung di sebuah rumah kongsi hari ini, menjadikan tangkapan setakat ini 39 orang, dengan 92 lagi masih diburu.

Dilaporkan sebelum ini bahawa seramai 131 Pati yang terdiri daripada 115 Rohingya, 15 warga Myanmar dan seorang Bangladesh, melarikan diri dari depot tersebut dua hari lepas.

Bagaimanapun, seorang maut selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di KM335 Lebuh Raya Utara Selatan.

Sementara itu, pihak media yang mengikuti pihak berkuasa untuk menahan kumpulan Pati di kebun jambu itu terpaksa berjalan kaki meredah lumpur dan anak sungai untuk sampai di lokasi berkenaan.

Laluan ke kebun itu bukan sahaja berlumpur tetapi perlu melalui anak sungai yang hanya boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda.

Selepas ditahan, kesemua pendatang itu dibawa ke IPD Tapah. -FMT

Related Articles