Pasukan pemadam bertugas 24 jam kawal kebakaran ladang di Riau

Kebakaran hutan dan ladang kelapa sawit itu dilaporkan mula mengakibatkan beberapa buah negeri di Malaysia mengalami Indeks Pencemaran Udara (IPU) berada di tahap sederhana.

Media-media tempatan memetik Ketua Polis Riau, Supriyanto sebagai berkata, pasukan khas yang dianggotai oleh Bomba, Polis, Tentera Darat dan Tentera Laut Indonesia itu dilaporkan berjaya mengawal kebakaran di 50 titik panas dan sedang bertungkus lumus untuk mengawal api di keseluruhan kawasan titik panas.

Antara kawasan titik panas yang sedang dipantau ialah daerah Bengkalis, Kotamadya Dumai, Kepulauan Meranti, Pelalawan, Rokan Hulu dan Siak.

Katanya, pasukan khas juga menggunakan pelbagai kaedah kebakaran termasuk ‘water bombing’ dan pemadaman api secara manual.

Sementara itu, menurut laporan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) yang dikutip daripada www.bmkg.go.id, bacaan IPU di wilayah Pekan Baru, Riau dan Pontianak di Kalimantan pagi ini dilaporkan tidak sihat dengan catatan bacaan indeksnya ialah 160 dan 150. – Bernama

Related Articles