Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kedudukan exco merupakan urusan kerajaan negeri tetapi meletakkan calon dalam pilihan raya merupakan urusan parti.
Bagaimanapun kata ahli Parlimen Marang itu, menukar exco bukan perkara mudah kerana ianya melibatkan perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
“Saya cuma mendapat khabar berita angin dan ia mungkin betul dan mungkin salah.
“Kalau benar pun dia nak minta Exco letak jawatan, soal pelantikan Exco adalah urusan kerajaan negeri manakala hal meletak calon dalam pilihan raya adalah soal parti.
“Lagipun, pelantikan Exco harus mendapat perkenan sultan menerusi dan ada angkat sumpah. Sebab itu kita bersedia dengan segala kemungkinan, perkara ini terpulanglah pada Sultan. Apa pun saya harap perkara ini adalah khabar angin,” katanya.
Abdul Hadi berkata demikian mengulas spekulasi berhubung dakwaan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mahukan tiga Exco Selangor daripada Pas meletak jawatan jika parti itu bertegas mahu calonnya bertanding dalam PRK Sungai Besar.