PAS, Parti Ikatan bentuk blok politik baharu

Memetik laporan BH Online, Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata persefahaman politik itu menjadi satu gagasan baharu kepada landskap politik negara yang menawarkan satu pilihan yang lebih mantap kepada rakyat.

Katanya, rakyat tidak perlu lagi terikat dengan dua pilihan jalur politik sedia ada iaitu BN dan pakatan harapan. “Rakyat perlu menolak kedua-dua budaya politik yang merosakkan negara.

“Gagasan Sejahtera mengajak rakyat membuat pilihan dengan sebuah gagasan politik yang sejahtera bersama Gagasan Sejahtera,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur.

Turut hadir, Presiden Ikatan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.

Nama Gagasan diputuskan Jawatankuasa Bersama antara PAS dan Ikatan yang bersidang pada 2 Ogos lalu di Ibu Pejabat PAS.

Abdul Hadi berkata, oleh kerana PAS masih bertahaluf siyasi dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Gagasan turut mempelawa PKR untuk menyertai blok baharu itu.

Katanya, pendekatan diambil Gagasan adalah pendekatan budaya politik matang dan sejahtera, sekali gus memberi pilihan kepada rakyat yang bosan dengan politik melampau sedia ada yang membawa kepada permusuhan dan ketidakstabilan sosial dan ekonomi.

“Politik berasaskan penyelesaian bukan politik berasaskan permasalahan di mana objektif Gagasan adalah membawa penyelesaian kepada pelbagai masalah yang dihadapi rakyat, bukan menyembunyikan masalah dan bukan sekadar menimbulkan isu serta mempermainkan sentimen rakyat seperti dilakukan pakatan harapan,” katanya.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata, PAS akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Sarawak Reports berhubung dakwaan parti itu menerima dana RM90 juta daripada BN.

“PAS sudah mengenal pasti Queen’s Counsel yang pernah ada hubungan kerjasama dengan parti dalam kes sebelum ini dalam tempoh sebulan.

“Kes akan dibawa ke mahkamah di England kerana media berkenaan berpusat di sana,” katanya.

Related Articles