PAS ‘King Maker’ PRU14

by SM Amin

Bagaimanapun, sama ada PAS pimpinan Hadi Awang benar-benar akan menjadi ‘king maker’, bergantung pada keadaan sama ada akan berlaku ‘parlimen gantung’; atau tiada mana-mana parti politik atau pakatan memenangi kerusi yang mencukupi untuk mentadbir secara unilateral; atau mana-mana parti atau pakatan hanya memenangi majoriti tipis; atau lebih sedikit daripada separuh kerusi Parlimen.

Jika parti pemerintah dan pembangkang membuta tuli menganggap PAS hanya sebagai ‘spoiler’, maka bolehlah dikatakan mereka telah memandang rendah kepada cita-cita politik Hadi Awang, dan tersalah menilai strategi politik PAS.

Selepas melalui beberapa kali rundingan, PH dan PPBM pimpinan bekas PM, Mahathir Mohamad dan bekas TPM, Muhyiddin Yassin telah menandatangani perjanjian pada 13 Disember lepas dan mencapai konsensus dalam tujuh rangka kerjasama. Pakatan 3 + 1 kali ini antara PH (DAP, PKR dan AMANAH) dan PPBM, telah dianggap sebagai penyelarasan semula barisan pembangkang selepas terkuburnya PR.

Salah satu langkah besar dan penting yang diambil oleh pembangkang terutamanya dalam usaha untuk meningkatkan peluang menang ialah mencapai perubahan rejim menerusi strategi ‘satu lawan satu’. Mungkin kerana itu juga, meskipun Mahathir secara terbuka memberitahu bahawa PPBM akan memohon untuk menyertai sebahagian PH, tetapi hari ini PPBM hanya memilih untuk ‘bekerjasama’ dengan PH kerana parti itu dan PKR memegang keinginan yang sama iaitu mahu mengekalkan ruang rundingan untuk menarik PAS menyertai PH.

Ini bermakna sama ada pakatan besar pembangkang akan terbentuk dan berjaya untuk menentang BN dengan strategi ‘satu lawan satu’, dan melangkah masuk Putrajaya, maka tidak syak lagi PAS memainkan peranan utama menentukan keadaan keseluruhan.

Dalam usaha untuk meningkatkan cip tawar-menawar PAS dengan UMNO dan pakatan pembangkang, Hadi Awang nampaknya memilih untuk mengekalkan hubungan politik ‘samar-samar’ dengan UMNO. Kedua-dua pihak tidak akan mencapai ‘kejayaan’ dalam kerjasama mahupun pakatan, apatah lagi untuk parti itu kembali semula dalam BN.

Lebih penting lagi, sebaik sahaja muncul ‘keputusan tipis’ pada PRU14, walaupun PAS tidak berjaya namun PAS masih boleh memainkan peranan sebagai ‘minoriti kritikal’ di mana Hadi Awang akan membuka ruang kepada BN atau PH. Pada ketika ini, PAS akan memperjuangkan kepentingan politik yang paling besar termasuklah melaksanakan hudud, hasilnya rakyat yang akan menjadi orang yang paling rugi besar. – Guang Ming Daily

Related Articles