Ini bermakna tahun ini 2016 genaplah PAS Sarawak berusia 20 Tahun! 2 dekad PAS terlibat dalam mewarnai usaha dan gerak kerja mengangkat agenda siasah (politik), dakwah dan tarbiyah Islamiyah di Bumi Kenyalang.
Berikut merupakan Pesuruhjaya-pesuruhjaya PAS Sarawak semenjak penubuhannya sehingga kini:
Penaja: Ustaz Mansor Din (Almarhum)
1995-2003: Cikgu Mohd Shokri Mohd Fauzi
2003-2009: Tuan Haji Adam Ahid (Almarhum)
2009-2010: Ustaz Othman Mustapha (meletak jawatan pada 30 Mei 2010)
2010-2015: Tuan Haji Adam Ahid (Almarhum)
2015-Kini: Tuan Haji Jofri Jaraiee.
Tahun 2001 telah mencipta sejarah apabila ia merupakan kali pertama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) melibatkan diri dalam Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak. Sebelumnya PAS Sarawak telah mengukir sejarah bila buat julung kalinya bertanding dalam Pilihanraya Umum tahun 1999 untuk Kerusi Parlimen iaitu di P.174 Batang Sadong. Sarawak satu-satunya negeri yang masih menjalankan Pilihanraya Kerusi Parlimen dan Pilihanraya Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) secara berasingan.
Keputusan Pilihanraya P.174 Batang Sadong pada Pilihanraya Umum tahun 1999 adalah seperti berikut:
BN – Hajjah Sukinam Domo (7,656 undi)
KeADILan – Sahari Bin Pet (701 undi)
PAS – Othman Bin Mustapha @ Mos (2,438 undi)
Keputusan: BN Menang dengan Majoriti 5,218 undi.
Menjelang Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak ke-8 yang diadakan pada 27 September 2001, dengan tema “Kamek Nyokong PAS, Sik Nyokong BN”, PAS membuat keputusan bertanding di tiga (3) Kerusi daripada 62 Kerusi DUN pada masa tersebut seperti berikut:
N.07 Samariang
Calon: Mohd Shokri Mohd Fauzi
N.18 Sadong Jaya
Calon: Haji Adam Ahid (Almarhum)
N.21 Beting Maro
Calon: Abang Ahmad Abang Dahalan
Ketiga-tiga DUN tersebut menjadi DUN “angkat” kepada Badan Perhubungan PAS Terengganu (DUN Samariang), Kedah (DUN Sadong Jaya) dan Kelantan (DUN Beting Maro).
Pada masa kempen pilihanraya 2001, tiga pemimpin utama PAS Pusat terdiri daripada YAB Dato’ Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat – Mursyidul Am (Almarhum), YB Dato’ Haji Fadzil Mohd Nor – Presiden (Almarhum) dan YAB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang – Timbalan Presiden telah turun padang mengetuai perarakan ke pusat penamaan calon di tempat masing-masing.
Sebelumnya pada sebelah malam 17 September 2001, kesemua pemimpin tertinggi tersebut telah mengadakan ceramah pengisytiharan nama calon di tempat masing-masing.
YAB Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengetuai perarakan di DUN N.07 Samariang. Pusat Penamaan calon bagi DUN tersebut adalah di Sekolah Menengah Kebangsaan Petrajaya II.
Di DUN N.18 Sadong Jaya pula, Presiden PAS Dato’ Fadzil Mohd Nor mengetuai perarakan di pusat penamaan calon di Sekolah Kebangsaan Iboi Maloi.
Sementara itu YAB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang mengetuai perarakan menuju ke Pejabat Daerah Pusa yang merupakan Pusat Penamaan calon di DUN N.21 Beting Maro.
YAB Dato’ Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelaskan bahawa inilah kali pertama (tahun 2001) kehadiran PAS di dalam Pilihanraya Negeri Sarawak dan ia lebih kepada untuk menyemai benih bagi terus bertapak. Beliau menjelaskan demikian ketika ditanya sejauhmana peluang PAS di dalam Pilihanraya Negeri Ke-8 tersebut.
Apabila ditanya oleh wartawan sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang antarabangsa Kuching, berkaitan kemungkinan akan berlaku pertembungan antara sesama parti Barisan Alternarif (BA) di DUN Samariang, beliau menjelaskan bahawa itu merupakan perkara teknikal yang sebelum ini telah berlaku. Beliau memberi contoh bagaimana di dalam Pilihanraya Umum 1999 di mana pertandingan 3 penjuru telah berlaku di Parlimen P.174 Batang Sadong (seperti dinyatakan di awal tadi).
Sementara itu, Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, YB Ustaz Hussin Awang yang hadir bersama pasukan bantu dari Terengganu, ketika menyampaikan ceramah perasmian POS UPU Samariang di Kg Samariang Hulu pada masa tersebut telah menjelaskan:
“PAS bertanding hanya di 3 DUN di Sarawak dalam Pilihanraya Negeri Ke-8 adalah sebagai permulaan untuk bertapak di Sarawak.
Walaupun kali ini PAS hanya meletakkan 3 calon, ianya akan menjadi suara penegur kepada kerajaan yang memerintah. Ini kerana sudah terlalu banyak kesilapan serta kelemahan yang telah dilakukan oleh kerajaan BN yang dipimpin oleh PBB.
Oleh itu, amat wajarlah pengundi di Samariang memberi peluang kepada PAS dalam Pilihanraya kali ini.”
Keputusan calon PAS di DUN Beting Maro dan Sadong Jaya pada Pilihanraya Negeri tahun 2001 amat memberangsangkan. Namun di DUN Samariang, calon PAS telah hilang deposit dalam satu pertandingan 3 penjuru dengan calon BN (PBB) dan PKR.
Muhtar Suhaili As-Sarawaki,
Setiausaha PAS Negeri Sarawak