PAS cabar Ahmad Said keluar UMNO

Pesuruhjayanya, Satiful Bahri Mamat menegaskan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu tidak perlu lagi menoleh ke belakang sebaliknya bergerak untuk bergabung bagi membolehkan Pas mengambil alih kerajaan.

Beliau percaya, jika Ahmad sanggup berbuat demikian, ia akan membantu menyelesaikan kemelut dalaman UMNO dan kerajaan negeri ketika ini.

“Jangan cakap saja nak keluar parti, beliau kena gentleman dan buktikan segera keluar daripada UMNO. Kalau betul, ini akan menjadikan kedudukan kerusi seimbang dan PAS boleh perintah Terengganu.

“Seorang lagi wakil rakyat di­jangka mengikut langkah­nya. PAS sedia pada bila-bila masa untuk perintah Terengganu,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Beliau mengulas kenyataan Ahmad pada Jumaat yang tidak menolak kemungkinan beberapa langkah alternatif diambil termasuk bergabung dengan pembangkang sekiranya Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman enggan tunduk kepada desakannya agar melepaskan jawatan.

Ditanya mengenai pendirian PAS jika ada ahli Barisan Nasional melompat parti, Satiful Bahri berkata, pihaknya tiada masalah mengenainya namun bergantung kepada peraturan yang ada.

Tanpa memperincikan peraturan tersebut, beliau berkata, apa yang penting adalah Ahmad tidak perlu menunggu lebih lama sebaliknya bertindak meninggalkan UMNO secepat mungkin.

“Sama ada beliau (Ahmad) nak bekerjasama dengan pembangkang atau sertai PAS, ini bukan isu. Sama juga kalau nak jadi wakil rakyat Bebas atau apa pun, yang penting perlu segera keluar daripada UMNO,” ujarnya. – Utusan Malaysia

Related Articles