PAS buka pintu dialog RUU ‘hudud’

Berdasarkan kepentingan itulah, PAS menangguhkan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian Pindaan Kuasa Mahkamah Syariah untuk memberi ruang kepada Ahli Parlimen meneliti dan memahaminya sebaik mungkin.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata parti itu sedia berdialog dengan mana-mana pihak bagi memperincikan tentang RUU itu.

“Kita beri peluang kepada semua pihak mengkaji dan mendalami peruntukan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) ini.

“PAS turut bersedia mengadakan dialog dengan mana-mana pihak untuk memberi kefahaman yang menyeluruh, sekali gus meredakan kebimbangan pelbagai pihak kononnya pindaan akta ini adalah ancaman kepada Perlembagaan,” katanya Muktamar Dewan Pemuda PAS ke-57, di Pusat Dagangan Kelantan (KTC) di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), Nik Abduh Nik Aziz.

Tuan Ibrahim berkata, masyarakat bukan Islam tidak perlu gusar kerana pindaan Akta 355 hanyalah untuk kepentingan orang Islam dan tiada kaitan langsung dengan penganut bukan Islam di negara ini.

Walaupun diasak pelbagai cemuhan oleh bekas rakan sekutu dalam pakatan kononnya PAS kini bersendirian, Tuan Ibrahim menegaskan keputusan untuk `melafazkan cerai’ dalam tahaluf siyasi adalah selaras dengan tiang perjuangan parti.

“Sebagai parti yang mendukung perjuangan menegakkan syiar Islam, PAS mengutamakan aspek istiqamah.

“Bila kita ramai dan kuat, lazimnya ingatan kepada Allah sering diabaikan, namun bila bersendirian serta lemah, kita selalu meminta petunjuk Allah.

“Selagi kita berada di landasan benar, Allah tidak akan kecewakan kita meski pun ada keputusan yang pahit untuk ditelan,” katanya. 

Muktamar Dewan Pemuda PAS kali mencipta kelain apabila barisan kepemimpinan parti mengenakan pakaian tradisional Melayu bercirikan pahlawan.

Related Articles