PAS akui berunding dengan BN bentang Akta 355

Bagaimanapun, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjelaskan perkara itu bukan bererti terdapat kerjasama di antara kedua-dua parti itu sebaliknya ia merupakan sebahagian daripada peraturan yang perlu diikuti.

“Sokongan menteri dahulu, setelah dipersetujui barulah ahli parlimen berkenaan boleh bawa usul itu untuk bacaan kali pertama.

“Apa yang kita buat adalah berunding dengan kerajaan supaya mengizinkan ia diusulkan. Baca kali pertama,” katanya pada sidang media selepas di Muktamar Tahunan PAS ke-62 di Kota Bharu, di sini, hari ini.

Pada 26 Mei lalu, Abdul Hadi berjaya membentangkan usul tersebut dengan persetujuan parlimen walaupun usul tersebut berada pada kedudukan nombor 15.

Usul itu bertujuan meminda Seksyen 2 akta tersebut untuk menyebut Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa terhadap orang Islam dan dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara yang disenaraikan dalam Butiran 1 Senarai Negeri di bawah jadual kesembilan Undang-Undang Persekutuan.

Ia juga bagi memasukkan Seksyen 2A yang menyebut dalam melaksanakan undang-undang jenayah di bawah seksyen tersebut, Mahkamah Syariah mempunyai hak untuk menjatuhkan hukuman berkaitan kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen berkenaan, selain hukuman mati.

Related Articles