Parti baru Tun M dalam masa terdekat

Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan perkara berkenaan dan berkata parti tersebut akan didaftarkan di bawah Pejabat Pendaftar Pertubuhan.

“Alhamdulilah, mesyuarat penubuhan parti baru di kediaman Tun Dr Mahathir malam tadi berjalan dengan sempurna.

“Saya akan menyerahkan permohonan untuk mendaftar parti ini kepada Pejabat Pendaftar Pertubuhan dalam masa terdekat,” katanya melalui satu posting di Facebook beliau pada Khamis.

Dalam masa yang sama, beliau berharap agar permohonan berkenaan dapat diluluskan.

“Insyaallah, kita akan lakukan yang terbaik untuk rakyat dan negara,” kata bekas Timbalan Perdana Menteri itu lagi.

Berdasarkan paparan gambar, mesyuarat berkenaan turut dihadiri oleh bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, bekas ahli Wanita UMNO, Ainina Saadudin, Presiden Gabungan Ketua Cawangan UMNO Malaysia (GKCM) Kamarul Azman Habibur Rahman, dan pendebat terbaik Asia Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

14 Julai lalu, Tun Mahathir pernah mengumumkan akan menubuhkan parti baru sebagai parti alternatif di dalam arena politik Malaysia.

Malah, penubuhan parti baru itu adalah satu gabungan baru dengan pembangkang yang mana turut melibatkan PKR, DAP, dan juga Amanah.

Ianya bertujuan untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke – 14 akan datang.

Related Articles