Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Samad, berkata ia adalah tindakan terdesak bekas Perdana Menteri itu.
Beliau menyifatkan kerjasama parti baharu Dr Mahathir dengan pakatan pembangkang umpama longgokan sampah yang terkumpul dalam satu hala, namun prinsip perjuangan berbeza.
Katanya, parti pembangkang lain yang tercari-cari formula untuk cuba menawan Putrajaya, mengambil kesempatan bergantung dengan pakatan baharu itu yang dipimpin Dr Mahathir.
“Yang kita lihat semasa ini, politik Malaysia sejak 2008 sehingga sekarang menjadi politik oportunis, ada saja bertukar, bertambah orang, berpecah, bercantum dan yang terakhirnya dengan deklarasi rakyat bila kumpulan dari DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (PAN) bergabung bersama Tun M,” katanya.
Shahrir yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru bercakap pada sidang media di Majlis Rumah Terbuka anjurannya di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Foon Yew 1, di Johor Bahru hari ini.
Shahrir berkata, politik yang diperjuangkan pakatan itu bukan berprinsip, sebaliknya hanya politik yang mahu mencari kesempatan atau peluang untuk memerintah.
“Bagi saya kalau kita nak jadi pemerintah, dasar kita kena konsisten, perjuangan kena konsisten, baru rakyat boleh terima tetapi kalau ada pakatan seperti ini semata-mata ambil kesempatan, ia lebih kepada politik cari peluang dan lebih nampak terdesak.
“Apa sahaja yang boleh dipaut, ia akan paut. Maknanya, bukan politik perjuangan dengan dasar konsisten, asal mana sempat, ia ambil.
“Itu sudah macam sampah yang terkumpul satu hala… ia pelbagai jenis tetapi tidak ada bawa perjuangan prinsip, pentadbiran yang konsisten. Ini yang rakyat Malaysia kena berdepan dengan suasana dan senario politik yang berterusan dari dulu lagi semata-mata nak guling BN (Barisan Nasional),” katanya.