Parti baharu Tun M mungkin ditangguh

Kata Tun Mahathir, pihaknya kini sedang dalam proses untuk menyelaraskan penubuhan parti baru sebelum ianya didaftarkan sebagai sebuah parti politik yang sah seperti yang diumumkan sebelum ini.

“Kami tetap akan menubuhkan parti baru itu dan membuat kenyataan rasmi mengenai objektif parti ini.

“Kami akan tubuhkan parti ini secepat mungkin dan berharap agar ia akan turut menyertai pakatan ini,” katanya dalam sidang media yang berlangsung di Yayasan Kepimpinan Perdana pada Khamis.

Ketika diminta mengulas sekiranya Najib bertindak dengan mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) lebih awal, Tun Mahathir menjelaskan bahawa Presiden UMNO itu perlu mendapat perkenan daripada Yang Dipertuan Agong terlebih dahulu.

Bagaimanapun tegas Tun Mahathir, pihaknya tidak mempunyai pilihan lain selain terpaksa turut sama bertanding sekiranya Najib berbuat demikian selepas mendapat persetujuan Yang Dipertuan Agong.

“Kita sudah merasa sangat malu dengan situasi yang berlaku di negara ini dan disebabkan itu, rakyat mesti bersatu untuk menolak Najib Razak,” katanya.

Jabatan Keadilan Amerika Syarika (DOJ) baru-baru ini mengeluarkan kenyataan untuk mengambil tindakan undang-undang dengan menyita hartanah bernilai lebih daripada US$1 bilion (RM4 bilion) berkaitan 1MDB yang merupakan sebahagian daripada US$3.5 bilion yang dilarikan dari institusi itu dalam salah laku pecah amanah.

Related Articles