Parang Tantari Pilihan Popular Pendaki

KLUANG: Bermula dengan sekadar minat menghasilkan parang untuk kegunaan sendiri, kini ‘Parang Tantari’ hasil tangan Ahmad Shah Ismail kian popular dalam kalangan pendaki luar negara.

Ahmad Shah yang juga seorang malim gunung berkata, mempunyai parang sebagai ‘peneman’ sudah menjadi kemestian bagi seorang pendaki gunung kerana selain berfungsi sebagai senjata, ia juga digunakan untuk survival.

Beliau berkata, jenis parang yang sesuai dan sering digunakan ketika aktiviti pendakian adalah jenis Candong, Ponco, Rintis dan Green Star Trail (GST), antara jenis parang yang sering dihasilkannya.

Ahmad Shah tidak menyangka Parang Tantari yang sekadar untuk menjana pendapatan sampingan kini cukup popular dalam kalangan pendaki gunung dari luar negara, terutamanya Amerika Syarikat, New Zealand dan juga Australia.

“Saya pada mulanya membuat parang ini hanyalah untuk kegunaan sendiri, namun setelah memberikan beberapa parang kepada pendaki luar negara yang mengikut saya, tidak disangka mereka perkenalkan kepada pendaki lain.

“Malah, saya kini tidak menang tangan apabila tempahan kini mencecah hingga 100 unit dalam masa sebulan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di bengkelnya di Kampung Pinggir Jaya, Kahang, dekat sini.

Menurut Ahmad Shah, antara tarikan istimewa parang itu kerana keunikan sarungnya dan sesuai serta selesa apabila diletakkan di pinggang.

“Saya cukup bersyukur atas sokongan yang diberikan kerajaan negeri melalui Perbadanan Usahawan Johor Berhad (PUJB),” katanya.

Nama ‘Tantari’ diinspirasikan daripada semangat pendekar dalam filem P Ramlee ‘Enam Jahanam’.

Berkongsi kisah aktiviti pendakian, Ahmad Shah berkata, beliau mula minat mendaki sejak berusia 10 tahun dan setakat ini sudah mendaki 60 bukit dan gunung di Semenanjung Malaysia.

“Saya bercita-cita menawan puncak Gunung Kinabalu satu hari nanti dan antara gunung yang saya sudah daki adalah Gunung Tahan, Gunung Ledang dan Gunung Chamah.” katanya. –Bernama

Related Articles