Parti Amanah Negara (PAN) tidak layak dipanggil ‘AMANAH’ kerana parti serpihan itu ‘mencuri’ kerusi yang dimenangi PAS, pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
Ketua Dewan Muslimat PAS Selangor, Wan Hasrina Wan Hassan, berkata jika mereka amanah, beberapa pemimpin parti itu yang memenangi kerusi pada PRU lalu perlu mengosongkannya bagi membolehkan pilihan raya diadakan kembali.
Selepas itu barulah PAN dapat menilai sejauh mana kekuatan mereka sama ada diterima rakyat atau sebaliknya.
“Kalau betul mereka amanah, kosongkan kerusi yang dimenangi atas tiket PAS. Jangan asyik kata rakyat sokong mereka sedangkan mereka menang dahulu guna PAS,” katanya ketika ceramah kelompok di Pasir Panjang malam tadi.
Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Melaka, Kamarudin Sidek melabel secara terbuka parti serpihan itu sebagai parti hipokrit, khianat dan tidak boleh dipercayai.
Kamarudin menganggap parti itu hipokrit kerana kononnya memperjuangkan Islam tetapi menentang Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) apabila ia dibentangkan di Parlimen bulan lalu.
“Saya lihat sendiri di Dewan Rakyat bagaimana pemimpin parti berkenaan yang dahulu bersama PAS tetapi kini bersama-sama Ahli Parlimen DAP bangun menentang RUU berkenaan.
“Tindak tanduk mereka itu menjelaskan yang pemimpin dan parti itu tidak boleh dipercayai dan perlu ditolak dalam PRK ini,” katanya.