Pameran Jerami MADA Terbakar

ALOR SETAR: Pameran Jerami Castle MADA@Jerai Geopark di Yan, yang mempamerkan pelbagai replika diperbuat daripada jerami gulung, terbakar tengah hari tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan Penolong Penguasa Bomba Noorhamidi Ali, berkata pihaknya menerima panggilan melalui talian MERS 999 pada 1.10 tengah hari tadi, memaklumkan kebakaran berlaku di tapak lokasi jerami gulung.

“Jentera diarahkan ke lokasi kejadian dan didapati kebakaran hanya melibatkan jerami dan tidak melibatkan mangsa.

“Tindakan pemadaman menggunakan dua aliran dua pancutan dari jentera BBP Yan serta dibantu pasukan bomba sukarela Sungai Limau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noorhamidi berkata, operasi pemadaman api terkawal pada 1.21 petang dan difahamkan tiada siasatan lanjut bagi kebakaran terbuka.

Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menganjurkan pameran Jerami Castle MADA@Jerai Geopark bermula 1 Mac hingga esok, sebagai usaha menarik minat petani menyertai projek guna semula jerami yang melibatkan aktiviti penggulungan jerami sebagai alternatif kepada kaedah pembakaran. 

Pelbagai aktiviti dijalankan pada program berkenaan, seperti sesi bergambar dengan replika dan produk jerami padi,menunggang kuda, memanah serta jualan makanan dan produk. – Bernama

Related Articles