KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan (MoF) menangkis dakwaan fitnah yang mengatakan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar dibayar sebagai Penasihat kepada Agensi Pelaksanaan Ekonomi dan Koordinasi Strategik Nasional (Laksana).
MoF dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, perjanjian sah ditandatangani Nurul Izzah adalah untuk memberikan khidmat nasihat kepada Laksana secara ‘pro bono’ atau tanpa mengambil imbuhan kewangan mahupun sebarang faedah, sepertimana dimaklumkan kepada umum.
“Hantaran yang tular di media sosial baru-baru ini adalah palsu dan fitnah semata-mata.“Dokumen perjanjian yang diuar-uarkan di media sosial merupakan sebuah draf tawaran tidak sah,” katanya menerusi satu ciapan di platform rasmi X (Twitter), MoF pada Rabu.
Pada Sabtu lalu, dalam satu kenyataan di Facebook, anak perempuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peguamnya akan membuat laporan minggu depan selepas sambutan Tahun Baharu Cina berhubung fitnah yang sama
.“Jangan lupa pengauditan ProKhas terhadap Unit Pelaksanaan dan Penyelarasan Rangsangan Ekonomi Antara Agensi Negara (Laksana), barulah kisah benar disimpulkan.
“Jangan lupa menyebarkan maklumat palsu dan fitnah adalah melanggar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Terima kasih kepada yang membaca,” katanya.
Sebelum ini, seorang pengguna Facebook memuat naik posting berbaur fitnah terhadap Nurul Izzah kononnya beliau dilantik sebagai penasihat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (Laksana) dan menerima gaji RM35,000.
Kandungan itu juga mendakwa Nurul Izzah diperuntukkan dua kakitangan, yang dibayar antara RM5,000 dan RM20,000. — Majoriti