Menurut Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, selain daripada agenda tersebut, mesyuarat tersebut juga akan membincangkan masa depan gabungan terbabit dan kedua-dua perkara berkenaan akan diputuskan dalam mesyuarat itu.
“Saya dimaklumkan pimpinan Pakatan Harapan akan kemuka pengumuman (calon perdana menteri) selepas perbincangan. Pada saya, pra syarat utama adalah prinsip reformasi, prinsip yang memastikan keadilan itu dapat berdiri dalam institusi demokrasi negara kita. Itu penting,” katanya pada sidang media pada Khamis.
Beliau berkata, dalam Pakatan Harapan, keutamaan adalah reformasi, justeru isu ini (perdana menteri) tidak perlu diberi sebarang komen kerana agenda rakyat perlu diutamakan.
“Kita akan umumkan secara bersama, yang penting dalam keadaan ini, kita menggarap semangat semua pihak, dan benar-benar memastikan kita mampu melaksanakan agenda informasi,” katanya.
Nurul Izzah mengulas demikian bagi menjawab pelbagai spekulasi calon berpotensi Pakatan Harapan untuk jawatan perdana menteri selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal permohonan mengetepikan sabitan dan hukuman atas kesalahan liwat.
Nurul Izzah berkata, agenda informasi menjadi keutamaan bagi memastikan tidak ada lagi perdana menteri yang dapat mengawal selia dan menyalah gunakan institusi seperti yang berlaku sekarang.
“Pemimpin dipilih harus menjiwai kesemua pra syarat dan melaksanakannya dalam tempoh memimpin negara.
“Pada masa perjanjian antara Pakatan Harapan dan Bersatu baru-baru ini juga, Pakatan Harapan tidak lupa pra syarat untuk melaksanakan agenda reformasi,” katanya.
Menurutnya, dalam menyelamatkan negara, tidak cukup hanya dengan menumbangkan perdana menteri semata-mata.
“Oleh sebab itu soalnya bukan semata-mata perdana menteri, tapi sistem itu yang benarkan beliau kaut keuntungan, jadi kita mahu pastikan bila berlaku perubahan, kita hormati segala yang ada dalam semangat perlembagaan, tapi bukan soal ganti perdana menteri semata-mata,” katanya.