“Jalan politik” PPBM dan PH semakin lama semakin menjauh. Parti politik sepatutnya wujud untuk berkhidmat kepada rakyat dan mewujudkan masa depan yang lebih baik kepada rakyat dan negara. Namun kerjasama antara PPBM dan PH ini adalah demi merebut wilayah dan memancing undi.
Matlamat pakatan besar pembangkang ini hanya satu iaitu menawan Putrajaya. Namun kumpulan ini tidak mempunyai platform politik yang sama bahkan berlainan falsafah politiknya. Jika berjaya menawan Putrajaya, adakah ia bagus untuk kesejahteraan rakyat?
Kita tidak dapat lupakan pakatan pembangkang yang terbentuk daripada kerjasama PAS dan DAP dahulu. Bagaimanakah caranya untuk memancing undi dengan ideologi yang berbeza? Akhirnya mereka berpecah. Ironinya, untuk pembangkang menang dalam pilihan raya, kuncinya bukanlah terletak kepada strategi kempen PPBM, DAP, PKR mahupun AMANAH, tetapi ia perlu dilihat pada PAS kerana PAS bertegas dengan dua perkara iaitu tidak mahu bekerjasama dengan AMANAH dan DAP serta 70 kerusi asal PAS tidak boleh diusik.
Matlamat utama pakatan PH dan PPBM pula ialah menaruh harapan dapat menentang BN satu lawan satu pada PRU akan datang supaya tidak berlaku tikam belakang. Namun begitu, dengan situasi semasa, dilihat pertandingan tiga penjuru lebih sukar untuk dielakkan. Lebih-lebih sikap tegas PAS yang tidak membenarkan AMANAH terus bertanding di kawasan mereka. Bukankah AMANAH tidak perlu berkonfrontasi dengan PAS? Jika begitu, siapa pula yang mahu membenarkan kerusi mereka untuk diberikan kepada AMANAH?
Andai pembangkang tidak boleh menentang BN satu lawan satu, maka apa gunanya pakatan besar pembangkang ditubuhkan? ‘Pakatan pilihan raya’ ini tidak boleh menarik minat PAS, jika begitu lebih baik cuba untuk ‘mengipas’ PAS.
Persoalannya adalah siapa yang sepatutnya tunduk untuk berbincang dengan PAS, siapa calon yang layak? Muhyiddin yang menjemput PAS secara terbuka untuk bersama-sama menentang BN tidak boleh menjadi calonnya. Sebaliknya calon yang layak adalah DAP yang menjadi punca perpecahan Pakatan Rakyat. Demi impian menentang satu lawan satu, dapatkah DAP melakukannya? Bolehkah DAP sekali lagi menutup sebelah mata dengan pentadbiran teokratik PAS yang sekali gus ‘menjual’ masyarakat Cina demi mencapai impian menawan Putrajaya. Semuanya akan menjadi tumpuan utama pengundi kini. – Kwong Wah Yit Poh