Ops Water: SPRM tahan tiga lagi pegawai kanan agensi kerajaan di Sabah

Sumber yang rapat dengan pasukan siasatan SPRM berhubung penyelewengan dana projek infrastruktur asas bernilai RM3.3 bilion di Sabah memberitahu Bernama ketiga-tiga pegawai berkenaan ditahan di daerah berasingan.

“Mereka ditahan di antara jam 7 malam dan 11.45 malam semalam di daerah bertugas masing-masing,” menurut sumber berkenaan di Kota Kinabalu pada Jumaat.

Ketiga-tiga suspek itu direman tujuh hari bermula Jumaat.

Perintah reman itu dikeluarkan Mahkamah Majistret Lahad Datu ke atas dua suspek manakala seorang lagi di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu.

Sumber tersebut juga menyebut bahawa setakat hari ini, SPRM telah merampas wang tunai berjumlah lebih kurang RM5.9 juta sepanjang operasi tiga hari itu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya(Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

Semalam, 19 pegawai kanan jabatan berkenaan direman antara empat hingga tujuh hari selepas mereka ditahan SPRM yang membuat serbuan serentak di 27 lokasi di seluruh Sabah pada 19 Okt lalu.

Ops Water Fasa II dilancarkan susulan Ops Water Fasa I pada 4 Okt lalu apabila SPRM mendapat maklumat daripada suspek yang ditahan sebelum ini mengenai kemungkinan pembabitan lebih ramai pegawai kanan jabatan berkenaan dalam kes penyelewengan dana itu. – Bernama

Related Articles