KUALA LUMPUR: Sebanyak 821 kemalangan dengan tiga kematian direkodkan di ibu negara dan Putrajaya sepanjang pelaksanaan Op Selamat 21 sempena Tahun Baharu Cina 2024 bermula 8 Februari lalu hingga semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, sepanjang tempoh itu, sebanyak 26,714 saman dikeluarkan dan 36 motosikal disita atas pelbagai kesalahan menerusi 19 operasi dijalankan.
Beliau berkata, sebanyak 20 tangkapan turut dilakukan melibatkan 11 kes samseng jalanan, lima kes ulat parkir, dua kes pemalsuan dokumen serta masing-masing satu kes dadah dan air ketum.
“Polis Kuala Lumpur telah menggunakan pendekatan Op Selamat 21 tahun ini dengan memberi tumpuan kepada kawalan lalu lintas di sekitar pusat bandar raya, selain mengurangkan kadar kemalangan sepanjang musim perayaan.
“Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur telah menggerakkan 140 kekuatan dengan pecahan lapan pegawai kanan dan 132 pegawai rendah bagi membuat pemantauan di 50 lokasi ‘hotspot’ dan 11 lokasi ‘blackspot’,” katanya dalam kenyataan, semalam. – Bernama