Ops BAH: 57 individu ditahan, 24 individu positif dadah

Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Md. Ikhsan berkata, kesemua ditahan dalam operasi yang melibatkan beberapa agensi selama lima jam bermula 11 malam di lokasi tumpuan iaitu di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan hotel bajet.

“Seramai 24 individu daripada jumlah terbabit didapati positif dadah, mereka terdiri daripada 20 lelaki dan empat perempuan yang berumur lingkungan 13 hingga 60 tahun,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu.

Beliau yang mengetuai operasi berkenaan berkata, 13 orang turut ditahan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) atas kesalahan berkhalwat, manakala Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyita dua premis perjudian haram dengan nilai rampasan kira-kira RM68,000.

“Kami akan meneruskan operasi ini dari semasa ke semasa agar kegiatan haram ini dapat dibendung. Malah kerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain akan diperkukuh dalam menjalankan operasi ini.

“Sebelum ini, aktiviti penagihan dadah dijalankan di rumah-rumah kosong dan kawasan gelap, sekarang kami perlu beri tumpuan di PPR kerana kediaman mereka telah dijadikan sebagai pusat dadah,” katanya.

Menurutnya, 300 anggota penguat kuasa daripada 25 agensi, serta badan bukan kerajaan (NGO) terlibat dalam operasi berkenaan, termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK). – Bernama

Related Articles