Op Cantas Khas 2: 39 individu ditahan sekitar ibu negara

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Deputi Komisioner Datuk Abdul Hamid Mohd. Ali berkata, polis Kuala Lumpur telah memeriksa seramai 1,458 individu dalam operasi pencegahan yang dilakukan sejak Ahad.

Tambahnya, operasi ini dilakukan sebagai usaha untuk mengekang pelbagai kegiatan jenayah khususnya jenayah kekerasan.

Menurutnya, operasi kali ini tertumpu di tempat hiburan, tempat letak kereta haram, tempat berkumpul, pemeriksaan kenderaan dan sekatan jalan raya, selain itu polis turut melakukan pemeriksaan bagi mengesan ‘Individu Dikehendaki’ yang masih bebas.

“Operasi ini akan dijalankan secara berterusan dari semasa ke semasa dan tangkapan dibuat berdasarkan pelbagai kesalahan.

“Antara kesalahan yang dikesan ialah seperti Seksyen 323 Kanun Keseksaan berkaitan mendatangkan cedera; Seksyen 379 Kanun Keseksaan, curi; Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, samun berkawan bersenjata; Seksyen 506 Kanun Keseksaan, ugutan jenayah; Seksyen 420 Kanun Keseksaan, tipu; Seksyen 324 Kanun Keseksaan, mendatangkan cedera dengan menggunakan senjata.

Tambahnya, kesalahan lain yang dikesan ialah, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen, tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah; Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen, dokumen perjalanan tamat tempoh; Seksyen 326 Kanun Keseksaan, dengan sengaja mendatangkan cedera parah dengan menggunakan senjata atau benda yang berbahaya.

Kesalahan lain katanya, Seksyen 52(3) Akta Pertubuhan 1966, mana-mana orang yang menjadi ahli sesuatu pertubuhan; Seksyen 148 Kanun Keseksaan, memiliki senjata maut dalam rusuhan dan tangkapan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA). – Utusan Online

Related Articles