Onn Hafiz, Rozi Mamat dilantik Pengerusi Jawatankuasa BN Johor dan Terengganu

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ketua UMNO Terengganu, Datuk Rozi Mamat masing-masing dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Barisan Nasional (BN) Johor dan Terengganu.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dalam kenyataan memaklumkan perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN semalam.

Pada 7 Disember lepas, Onn Hafiz dan Rozi masing-masing dilantik sebagai Ketua UMNO Johor dan Terengganu.

Pada masa sama, Zambry berkata, Dewan Tertinggi BN juga bersetuju sebuah jawatankuasa khas dibentuk bagi menyelaras semua program sempena Ulang Tahun Jubli Emas BN yang bakal disambut pada Jun ini.

Beliau berkata, BN turut merafak sembah tahniah kepada Sultan Ibrahim yang dimasyhur sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lepas.

“Semoga pemerintahan Kebawah Duli Tuanku akan membawa Malaysia ke arah (masa depan yang lebih) makmur dan sejahtera.

“BN turut menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah yang telah menyempurnakan tempoh pemerintahan sebagai Agong ke-16,” katanya. -Bernama

Related Articles