Norlizah Digugurkan Dalam Rombakan Exco Kerajaan Johor

by Anis

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama, Norlizah Noh yang memegang Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Johor, digugurkan daripada menggangotai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor dalam penstrukturan semula portfolio itu bagi tahun 2024 hingga 2027.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, jawatan Norlizah akan digantikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat, Aznan Tamin.Pelantikan dan penstrukturan semula portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Selain Norlizah yang digugurkan, lain-lain ADUN dikekalkan dengan portfolio yang sama.

Selain itu, Onn Hafiz akan mengambil alih portfolio pelancongan daripada ADUN Tenggaroh, K Raven Kumar.

Raven pula diberi memegang portfolio Perpaduan Masyarakat, Warisan dan Budaya.

Perubahan itu menyaksikan portfolio menteri besar merangkumi Pengerusi Jawatankuasa Hasil Bumi, Pentadbiran, Kewangan, Perancangan, Pembangunan Ekonomi dan Pelancongan Johor.

Lima lagi Exco yang turut berubah portfolio ialah ADUN Tenggaroh, K Raven Kumar (Exco Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri), ADUN Larkin, Mohd Hairi Md Shah (Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri) dan ADUN Yong Peng, Ling Tian Soon (Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri).

Selain itu, ADUN Paloh, Lee Ting Han (Exco Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri) dan ADUN Bukit Pasir, Mohamad Fazli Mohamad Salleh (Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri).

Mereka yang kekal ialah ADUN Buloh Kasap, Datuk Zahari Sarip (Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri), ADUN Bukit Permai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor (Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri), ADUN Semerah, Mohd Fared Mohd Khalid (Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri) dan ADUN Serom, Khairin Nisa Ismail (Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri).

“Tahniah ADUN Tanjung Surat, Aznan yang telah mengangkat sumpah memegang jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor di hadapan Tunku Ismail.“Semoga apa yang dititahkan kepada beliau dapat dilaksana dan digalas dengan baik. Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada mantan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Johor, Norlizah atas segala khidmat dan bakti yang dicurahkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Onn Hafiz yakin pelantikan dan penstrukturan semula portfolio barisan Exco ini mampu memacu Johor ke arah lebih baik dan berharap semua yang dilantik berupaya menggalas tugas dan tanggungjawabdengan penuh amanah, dedikasi dan integriti.

“Saya sedar dan insaf, sepanjang tempoh hampir dua tahun perkhidmatan ini, masih banyak yang perlu dilakukan.

“Insya-Allah, saya bersama barisan Exco ini akan berusaha untuk memacu negeri Johor ke satu tahap yang lebih baik demi kesejahteraan rakyat Johor,” ujarnya.

Majlis istiadat pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor berlangsung di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene di hadapan Tunku Ismail Sultan Ibrahim. – MalaysiaGazette

Related Articles