Nilai semula hubungan dengan MCA, PAS gesa UMNO

Ketua Penerangan Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, tindakan tersebut menunjukkan BN gagal mendidik parti komponen mereka untuk menghormati agama Islam sehingga boleh campur tangan dalam urusan agama orang lain.

“Akta 355 ini jelas sekali tidak libatkan orang bukan Islam. MCA pula secara terangan cuba campur tangan dan menentang perubahan dan pindaan akta ini. Sedangkan mereka sedar ia tidak melibatkan mereka.

“Ini buktikan kegagalan UMNO didik mereka hormat hak umat Islam untuk bebas melakukan suruhan agama di negara ini.

“Namun begitu, saya juga masih belum yakin sepenuhnya MCA akan menentang pindaan ini kerana nasib politik mereka bergantung pada UMNO,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi Biro Publisiti MCA, Chai Kim Sen yang menafikan parti itu tidak akan menentang rang undang-undang dikemukakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ahmad Fadhli yang juga Ketua Pemuda PAS Kelantan berkata sayap utama parti Islam itu telah turun padang untuk membantu memberikan penerangan kepada orang ramai mengenai akta tersebut.

Sehingga kini, beliau berkata, sambutan yang diterima sangat menggalakkan terutamanya jelajah yang melibatkan kawasan-kawasan di 14 Parlimen di negeri ini.

“Malah kita juga akan turun padang ke setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk beri penerangan yang lebih khusus dibantu pula dengan pengedaran risalah-risalah mengenai perkara tersebut di semua tempat-tempat tumpuan orang ramai,” katanya.

Related Articles