Memetik laporan Berita Harian, mereka ditahan selepas mengingkari arahan polis supaya bersurai, menarik balik kain rentang dan tidak melaungkan slogan provokasi.
Demonstrasi bermula kira-kira jam 9 pagi itu mulanya diadakan di luar pagar mahkamah sebelum berarak perlahan-lahan hingga ke tangga lobi mahkamah, manakala peserta melaungkan kata-kata provokasi menggunakan pembesar suara.
Polis dilihat beberapa kali menasihati mereka supaya mengadakan demonstrasi di luar pagar mahkamah, namun mereka berdegil dan terus melaungkan slogan provokasi menggunakan pembesar suara, menyanyi serta memaparkan kain rentang.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy, berkata tangkapan dibuat selepas mereka mengingkari nasihat dan arahan bersurai kerana mengganggu ketenteraman serta perjalanan mahkamah.
“Mereka berhak mengadakan perhimpunan tetapi bukan dalam bangunan ini.
“Polis memberi nasihat lebih tiga kali kepada mereka supaya bersurai dan selepas berdegil, kami terpaksa menahan mereka kira-kira jam 11 pagi untuk siasatan lanjut,” katanya.
Munusamy berkata, semua individu ditahan di Balai Polis Sentul dan disiasat mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012, manakala kain rentang dibawa turut dirampas.