Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Irmohizam Ibrahim berkata sebagai Anggota Parlimen Taiping dan rakyat Malaysia, Nga perlu menghayati dan mengamalkan prinsip kelima Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan.
“Mempersendakan sambutan Hari Raya Aidilfitri adalah sikap jahil yang tidak bertamadun dan tidak boleh diterima umat Islam di negara ini.
“Tindak balas Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan dan Pemuda UMNO Selangor serta Gerakan Merah menggesa Nga memohon maaf secara terbuka adalah sangat wajar bagi memberi kesedaran kepada beliau agar lebih menghormati agama dan budaya orang lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Pada 6 Julai lepas, Nga memuat naik status dengan karikatur yang mempersendakan amalan pemberian duit raya sebagai rasuah dan ‘dedak’ serta ucapan Selamat Hari Raya berunsur provokasi dalam Facebook beliau.
Sementara itu di Ipoh, Pengerusi MCA Perak Datuk Dr Mah Hang Soon berkata sebagai seorang pemimpin politik, Nga perlu bertanggungjawab dan bukannya hanya menafikan memuat naik karikatur berkenaan.
“Setiap manusia ada kelemahannya, bila dah buat salah minta maaf sahajalah tak perlu hendak putar belit kenyataan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Jabatan Kerja Raya negeri Perak pada Khamis.
Dr Mah berkata adalah menjadi tanggungjawab setiap pemimpin untuk terus memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini supaya Malaysia terus maju ke hadapan. Bernama