Nelayan ditahan pihak berkuasa Indonesia ada ruang dibebaskan, kata Zahid

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, selain menggunakan saluran diplomatik, kerajaan juga menggunakan saluran perundangan kerana masih ada ruang untuk nelayan negara ini yang telah dihukum oleh mahkamah Indonesia itu bagi mengemukakan rayuan.

“Oleh kerana mungkin pihak mereka (nelayan) tidak begitu memahami sistem perundangan di Indonesia mereka didapati tidak mengemukakan rayuan dalam tempoh tertentu.

“Maka proses untuk mengemukakan rayuan ini sedang dijalankan oleh pihak peguam-peguam kita yang telah bekerjasama dengan pihak Indonesia,” katanya pada Sidang Media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kementeriannya juga bersedia melonggarkan syarat pengambilan pekerja-pekerja asing untuk diberikan permit bekerja di bot-bot nelayan penangkapan ikan kategori Zon B.

Beliau menjelaskan, permohonan itu dijangka dapat diluluskan setelah semua butiran yang diperlukan mengenainya dikemukakan dengan lengkap kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Sebagaimana yang telah saya umumkan di Sekinchan minggu lalu, kami ambil serius perkara ini dan sedang menimbang permohonan terbabit,” katanya.

Related Articles