Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, perbandingan itu tidak patut dibuat memandangkan bekas perdana menteri itu tidak lagi berada dalam UMNO.
“Tiada sebab untuk membangkitkan soal lebih atau kurang pengaruh Tun Mahathir dalam kalangan ahli Umno kerana Tun Mahathir sudah lama meninggalkan parti itu. Sebab itu Tun Mahathir tubuhkan parti baharu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Kelmarin, Najib yang juga Presiden UMNO dalam satu laporan media mendakwa beliau mempunyai kelebihan berbanding Mahathir yang sehingga kini gagal menjatuhkannya.
Menurut Najib, ini disebabkan beliau bergaul dengan pemimpin-pemimpin Umno sejak pertama kali menyertai parti itu pada usia 23 tahun.
Sedangkan, dakwanya, Mahathir langsung tidak rapat dengan Ketua UMNO Bahagian.
Menurut Mukhriz, kenyataan Najib itu merupakan pandangan peribadi beliau saja.
“Apa yang nampak, ada juga kalangan ahli UMNO sekarang yang tak setuju dengan Najib. Cuma mereka tidak sanggup menyatakan secara terbuka,” katanya.
Beliau berkata, kenyataan Najib itu juga seolah-olah mencerminkan dirinya dalam keadaan terdesak.
“Biasanya dalam soal berbuat baik ini, orang lain yang nampak, bukan dinyatakan oleh tuan punya badan sendiri. Ini umpama angkat bakul sendiri.
“Lagipun beliau membuat kenyataan itu dalam satu temu ramah yang dirancang. Sudah tentu kehebatan diri yang diutamakan dulu, lebih-lebih lagi menjelang PRU ini,” katanya.
Mahathir mengambil keputusan keluar Umno kali kedua pada Februari tahun ini, dan semakin lantang mengkritik cara pentadbiran perdana menteri, terutama dalam isu kuasa dan integriti, khususnya berkaitan 1MDB.