Najib minta Jokowi dan Indonesia berhimpun demi Rohingya

Berucap di Perhimpunan Solidariti Ummah Rohingya, beliau berkata penindasan terhadap Rohingya perlu dihentikan segera dan mendesak negara-negara lain turut sama campur tangan atas dasar kemanusiaan.

“Saya nak minta Jokowi minta rakyat Indonesia berhimpun juga, jangan protes Ahok sahaja. Rohingya juga mesti diperjuang di Indonesia.

“Kita nak tunjuk yang kita dalam ASEAN ini tidak redha (dengan apa yang dilakukan kerajaan Myanmar terhadap etnik Rohingya),” kata Perdana Menteri itu.

Turut hadir sama dalam perhimpunan tersebut ialah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Dalam masa yang sama, Najib turut menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk memainkan peranan bagi membela nasib Rohingya.

Jelasnya, perkara ini tidak akan didiamkan beliau sebaliknya bertegas akan memperjuangkan isu berkenaan sambil berkata enggan tragedi yang berlaku terhadap Bosnia berulang kembali.

“Dunia tidak boleh biarkan penghapusan etnik ini berlaku sahaja tanpa apa-apa. Ini masalah kita. Dulu Bosnia begitu, sekarang kita tidak akan lihat sahaja, kita akan terus bertindak guna apa juga saluran yang ada.

“Kita bertindak ikut saluran sebab kita nak beritahu bahawa isu melibatkan tragedi Rohingya ini mencengkam kalbu kita, Islam dihina dan kesabaran kita dicabar,” tegas beliau lagi.

Himpunan yang berlangsung di Stadium Mini Titiwangsa itu sebelum ini mendapat tentangan rakyat Myanmar yang menyatakan Najib tidak perlu masuk campur dalam urusan negara itu.

Namun, perhimpunan tersebut tetap berlangsung dengan dihadiri ribuan rakyat Malaysia yang bersama-sama bersolidariti buat Rohingya di Myanmar.

“Kita nak beritahu pada Aung Saan Suu Kyi, ‘enough is enough’. Walaupun saya digertak mereka, saya tidak peduli. Bukan kita nak campur tangan, tetapi ini sebab hak asasi manusia,” tambah beliau lagi.

Related Articles