Mantan Perdana Menteri itu berkata, perkara seperti itu juga berlaku yang mengakibatkan kerajaan Malaysia pada suatu ketika dahulu terpaksa memerdekakan Singapura.
“Hanya dengan adanya 1.5 juta orang asing di Johor, akan menjadi masalah kepada kamu. Lihat apa jadi kepada Singapura. Hanya kerana komposisi penduduknya tidak seperti di Malaysia, kita terpaksa keluarkan Singapura dari Malaysia.
“Apabila Johor Bahru dikelilingi oleh 1.5 juta orang asing apakah kita akan merdekakan wilayah Iskandar. Na’uzubillah,” kata Dr Mahathir.
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berkata kenyataannya berkenaan 700,000 warga asing akan berada Johor memang seakan-akan tidak masuk akal namun Perdana Menteri Najib Razak memang kebiasaannya melakukan perkara yang tidak masuk akal.
Beliau berkata, Mohamed Khaled boleh untuk tidak mengendahkan kenyataan itu, namun hakikatnya perkara seperti itu akan dan sedang berlaku di Malaysia.
“Ya. Memberi kerakyatan kepada 700,000 orang asing memang bunyi tidak masuk akal. Tetapi Najib biasa membuat perkara-perkara yang tidak masuk akal, yang luar biasa.
“Hari ini pun sudah ada kes pelawat asing memiliki passport negara lain tetapi kad pengenalan Malaysia. Dalam negara ‘Cash is King’ Najib, pegawai boleh disogok atau cara-cara lain dibuat untuk memberi kad pengenalan Malaysia kepada 700,000 orang asing yang akan bermastautin di Johor,” kata Dr Mahathir, memetik kenyataan di laman blognya, www.chedet.cc, hari ini.
Memetik kenyataan Bloomberg, Dr Mahathir berkata, di sekeliling Johor Bahru terdapat 60 projek yang boleh diduduki oleh 1.5 juta orang dan beliau turut mempersoalkan siapakah yang akan mengisi bangunan pencakar langit di kawasan Iskandar ini.
“Masuk akalkah jika orang Johor, Melayu, Cina dan India seramai 1.5 juta berpindah untuk tinggal dalam projek-projek mewah ini. Tak masuk akal.”
“Untuk 1.5 juta orang asing tinggal di sekeliling Johor Bahru masuk akal. Kononnya nak tinggal hanya tiga bulan musim sejuk sahaja. Sudah ada syarat dan perjanjiankah? Bolehkah kita gambarkan 700,000 orang terbang ke Johor untuk tinggal tiga bulan dan lepas itu 700,000 orang ini terbang balik dan tinggal bandaraya Iskandar Johor Bahru kosong selama sembilan bulan.
“Fikirkan 1.5 juta manusia mengosongkan bandar, pangsapuri, kedai, kilang selama sembilan bulan. Sunyi senyap Johor Bharu. Masuk akal?” soalnya.
Mantan Perdana Menteri itu berkata Mohamed Khaled juga tidak berupaya untuk menghalau mereka keluar dari Johor sekiranya 1.5 juta orang asing ini pilih untuk tinggal, untuk bekerja untuk berniaga, untuk melahirkan anak sepanjang tahun di negeri itu.
“Kalau tidak dapat halau keluar mereka, apakah status mereka. Apakata kalau mereka tuntut untuk jadi pemastautin tetap. Apakata kalau mereka tuntut kerakyatan Malaysia. Apakata kalau senyap-senyap mereka diberi kad pengenalan Malaysia sebelum PRU 14.”
Dr Mahathir mendakwa, perkara itu tidak mustahil memandangkan Najib kini dalam keadaan terdesak.
Beliau berkata, Najib membuat undang-undang untuk memiliki kuasa penuh, tangkap dan kurung orang, menamat jawatan, menyogok wang, mengguna Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk menekan orang, bahkan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menakut rakyat sudah diamal olehnya.
“Setakat memberi kad pengenalan, mendaftar sebagai pengundi 700,000 orang asing adalah perkara biasa baginya. Mungkin tak sampai 700,000, mungkin lebih bukan masalah bagi Najib,” katanya lagi.