Najib kongsi pentas dengan Hadi bantah kekejaman Myanmar

 
Himpunan yang dianjurkan di Stadium Mini Titiwangsa itu bermula kira-kira pukul 8 pagi dengan orang ramai yang membanjiri kawasan stadium membawa plakad “Bebaskan Rohingya” dan laungan “Allah selamatkan Rohingya”.
 
Perhimpunan yang dinamakan “Solidariti Ummah Rohingya” itu turut disertai ahli Umno, PAS, dan penyokong kumpulan Gerakan Baju Merah serta komuniti Rohingya yang berada di negara ini.
 
Turut hadir adalah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Pemuda PAS Nik Mohamad Abduh Nik Aziz, serta pemimpin Umno dan PAS yang lain.
 
Najib dalam perhimpunan Agung Umno 2016 yang semalam menegaskan kehadiran beliau dalam himpunan hari ini adalah atas dasar kemanusiaan dan bukan ingin mencampuri urusan dalaman Myanmar.
 
Sebelum itu Timbalan Ketua Pengarah Pejabat Presiden Myanmar, U Zaw Htay yang memberi peringatan kepada Malaysia supaya tidak mencampuri urusan dalaman Myanmar susulan penganjuran himpunan hari ini yang turut disertai Najib.
 
Sekumpulan Sami Buddha juga sebelum ini menganjurkan bantahan terhadap Najib di luar Kedutaan Malaysia di Myanmar atas pendirian Putrajaya mengenai isu Rohingya.
 
Menurut portal berita Rohingya Vision, kira-kira 30 sami melaungkan slogan menentang Najib di luar kedutaan itu kerana didakwa campur tangan dalam hal ehwal Myanmar.
 
Kerajaan Myanmar menghadapi bantahan antarabangsa berikutan pembunuhan etnik Rohingya di negara itu. 
 

Related Articles