Najib dijangka bebas Ogos 2028

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerima pengurangan hukuman penjara dan denda dari Lembaga Pengampunan.

Perkara berkenaan dimaklumkan dalam satu kenyataan oleh lembaga tersebut, dan dijangkakan bebas dari Penjara Kajang pada 23 Ogos 2028.

Pengampunan tersebut berjaya mengurangkan separuh daripada hukuman dan denda yang telah diputuskan mahkamah sebelum ini.

“Setelah menimbangkan pendapat dan nasihat, Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 telah memutuskan hukuman ke atas YBhg. Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman dan denda yang perlu dibayar.

“Oleh yang demikian, YBhg. Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak dipersetujui untuk dibebaskan pada tarikh pembebasan awal iaitu pada 23 Ogos 2028 dan denda yang perlu dibayar iaitu sebanyak RM210,000,000.00 dikurangkan kepada RM50,000,000.00,” memetik kenyataan tersebut.

Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 yang bersidang pada 29 Januari lalu turut mengurangkan denda kepada RM50 juta.

Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya berkata, sebanyak lima kertas pengampunan termasuk permohonan Najib telah dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah.

Bekas Presiden UMNO itu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun selepas didapati bersalah atas tuduhan kes menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Beliau gagal dalam rayuan akhir di Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman serta denda RM210 juta atau penjara lima tahun sekiranya gagal membayar denda.

Related Articles