Najib akan hadir sidang kemuncak peringatan Asean-Rusia

Dalam kenyataan hari ini, Wisma Putra berkata, Sidang Kemuncak ASEAN-Russia diadakan bersempena 20 tahun hubungan dialog ASEAN-Russia.

Sidang kemuncak itu bertindak sebagai platform untuk pemimpin Negara Anggota ASEAN dan Russia dalam menggariskan hala tuju kerjasama mereka pada masa depan, kata kenyataan itu.

Pada Sidang Kemuncak Peringatan itu, pemimpin dijangka menerima pakai Deklarasi Sochi bertajuk

“Menuju Ke Arah Perkongsian Strategik bagi Manfaat Bersama.”

“Pemimpin-pemimpin juga akan memberi tumpuan kepada Pelan Tindakan Komprehensif (2016-2020) yang mengandungi langkah-langkah khusus untuk mengukuhkan hubungan bagi lima tahun akan datang dan meneliti laporan Kumpulan Tokoh Terkemuka (AREPG), laporan yang mengandungi cadangan-cadangan bagi hala tuju hubungan ASEAN-Russia pada masa depan,” kata Wisma Putra.

Wisma Putra berkata, Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Russia akan terdiri daripada tiga sesi iaitu; sesi pleno, yang akan membincangkan isu global dan serantau serta kerjasama ASEAN-Russia; mesyuarat antara pemimpin dengan wakil perniagaan bagi membincangkan peluang antara ASEAN dan Russia; dan perbincangan semasa majlis makan tengah hari yang akan menumpukan pada prospek meningkatkan lagi kerjasama ekonomi antara Eurasia dan Asia Tenggara.

“Forum Perniagaan ASEAN-Russia dan Mesyuarat Menteri-Menteri Kebudayaan ASEAN-Russia juga akan diadakan di luar Sidang Kemuncak,” katanya.

Pada lawatan itu, Najib turut dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Rusia Vladimir Putin bagi membincangkan isu-isu kebimbangan bersama.

Najib, yang juga Menteri Kewangan akan diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman serta pegawai Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Luar. – Bernama

Related Articles