Sementara itu, penerbitan industri penerbangan melaporkan sistem pesawat mengesan asap dalam tandas, menunjukkan kebakaran berlaku sebelum ia terhempas.
Mencari petunjuk sama ada nahas yang mengorbankan 66 penumpang dan anak kapal adalah angkara pengganas, penyiasat meneliti senarai penumpang dan menyoal anggota kru di Lapangan Terbang Charles de Gaulle Airport di Paris lokasi ia berlepas.
Pesawat Airbus 320 itu terbang secara normal di ruang udara dalam penerbangan waktu malam ke Kaherah awal Khamis lalu apabila tiba-tiba condong ke kiri, kemudian ke kanan dan berputar ketika terjunam setinggi 11,582.4 meter ke dalam laut, tanpa memberikan isyarat kecemasan.
Di Mesir, negara kelahiran 30 mangsa, anggota keluarga dan rakan yang kesedihan tertanya-tanya jika orang tersayang akan ditemui. Ramai berkumpul di masjid untuk menunaikan solat jenazah ghaib.
“Inilah yang meruntun hati kami, apabila berfikir mengenainya.
“Apabila seseorang yang ada sayang meninggal dunia, sekurang-kurangnya ada mayat untuk dikebumikan. Namun kami tiada mayat untuk berbuat demikian sehingga kini,” kata Sherif al-
Metanawi, rakan sejak kecil juruterbang Mohammed Shoukair.
Pihak berkuasa Mesir berkata, mereka percaya keganasan mungkin menjadi punca nahas berbanding kegagalan peralatan, dan sebahagian pakar penerbangan berkata keadaan pesawat yang tidak menentu menunjukkan letupan bom atau pergelutan dalam kokpit.
Namun setakat ini tiada bukti mengenai perkara itu.
Tiada kumpulan militan mendakwa bertanggungjawab menyebabkan kapal terbang itu terhempas. – AP