Nafi Terlibat Kontrak Spanco, Muhyiddin Gesa Kerajaan Dedah LOI

by Anis

KUALA LUMPUR: Kerajaan sepatutnya mendedahkan surat niat (LOI) yang diberikan kepada sebuah syarikat lain oleh kerajaan Pakatan Harapan sebelum itu dibatalkan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau percaya maklumat mengenainya ada di Kementerian Kewangan.

Selain itu, katanya, kerajaan juga perlu mendedahkan tarikh bila kontrak tersebut diberikan kepada Spanco Sdn. Bhd. (Spanco).

Bekas perdana menteri itu menafikan sekeras-kerasnya tohmahan kononnya beliau terbabit dalam salah laku berhubung pemberian kontrak pembekalan dan penyelenggaraan kenderaan kerajaan kepada Spanco.

Namun, katanya, sehingga kini tohmahan jahat ini berlegar dalam media massa dan media sosial tanpa butiran yang lengkap bagaimana beliau terbabit dalam perkara ini dan apakah salah laku tersebut.

“Samalah seperti tuduhan sebelum ini kononnya saya menyeleweng wang negara bernilai ratusan billion ringgit yang sehingga kini tidak dapat dibuktikan oleh mereka yang menuduh saya.

“Saya juga telah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tuduhan rasuah berkaitan projek Janawibawa. Pihak pendakwa merayu dan rayuan akan didengar oleh Mahkamah Rayuan pada 28 dan 29 Februari 2024. Saya berdoa semoga saya mendapat keadilan di mahkamah,” katanya.

Beliau menyifatkan tuduhan terhadapnya adalah sebahagian daripada siri pembunuhan karakter yang dibuat oleh musuh politik saya yang bertujuan untuk menjejaskan reputasi saya.

“Janganlah membuat tuduhan melulu terhadap saya. Sebagai perdana menteri antara Mac 2020 dan Ogos 2021, saya tidak terlibat dalam sebarang pemberian kontrak kerajaan yang diuruskan oleh Kementerian Kewangan.

“Jangan samakan kedudukan saya dengan Perdana Menteri ke-10 yang juga merupakan menteri kewangan. Saya tahu kedudukan saya,” tegasnya.

Awal Februari lalu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memaklumkan semua yang terbabit dalam membuat keputusan penganugerahan kontrak perolehan syarikat membekal dan menguruskan kenderaan kerajaan oleh Spanco sejak syarikat berkenaan beroperasi pada 1990-an akan dipanggil bagi membantu siasatan.

Menurutnya, SPRM akan memanggil beberapa kenamaan termasuklah perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu.

SPRM sebelum ini turut dilaporkan sudah merakamkan keterangan beberapa saksi penting termasuk agensi kerajaan serta individu dari syarikat terbabit yang memperoleh kontrak kerajaan bernilai RM4.5 bilion.

Untuk rekod, Spanco adalah syarikat tunggal yang memegang konsesi tersebut sejak 1993. – MalaysiaGazette

Related Articles