Usul tersebut dibawa oleh Dewan Muslimat Kedah dalam Sidang Muktamar Dewan Muslimat PAS kali ke-56 di Kota Bharu hari ini dan ia diterima tanpa bahas oleh perwakilan.
Naib Ketua Dewan Muslimat Pas Salamiah Mohd Noor yang mengumumkan perkara itu menyatakan usul tersebut akan dibawa ke Majlis Syura Ulama untuk tindakan susulan.
Usul itu menyatakan PKR dilihat seolah-olah tidak menghormati PAS apabila mengadakan hubungan kerjasama dengan Parti Amanah Negara (AMANAH), yang jelas menuduh serta memfitnah PAS dengan pelbagai dakwaan tidak berasas.
Menurut usul itu, bermula langkah Kajang sehinggalah konspirasi menjatuhkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, pandangan dan pendirian PAS tidak dihormati selain kesucian Pakatan Pembangkang dicemari dengan perancangan tertentu di luar pengetahuan PAS.
“Walaupun ada segelintir pemimpin PKR yang menghormati pendirian dan pandangan PAS namun rentetan isu sebelum ini memperlihatkan parti itu lebih selesa mengambil keputusan tanpa berbincang atau mengambil kira rakan tahallufnya berhubung hal-hal berkaitan.
“Sedangkan PKR banyak bergantung harap kepada PAS untuk menggerakkan jentera terutama menjelang pilihan raya.
“Memandangkan sejak kebelakangan ini, Pas dilihat bergerak secara bersendirian dan bersikap berdikari dalam menangani isu-isu politik dan masalah, maka adalah lebih baik dalam pilihan raya akan datang kita bertanding di semua kerusi tanpa bekerjasama dengan parti-parti lain,” kata usul tersebut yang tertulis di dalam Buku Usul.
Sementara itu, dalam sidang media, Salamiah berkata usul itu mempunyai kaitan dengan beberapa tindakan yang dibuat oleh PKR termasuk ketika Pilihan Raya Negeri di Sarawak baru-baru ini.
PKR telah meletakkan calon sedangkan PAS telah sedia bertanding di kawasan tersebut dan ia dilihat sebagai pertembungan yang tidak wajarnya.
Tambah beliau, usul tersebut dijangka diserahkan selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar, Perak dan Sungai Besar, Selangor 18 Jun ini. – Bernama