Beliau secara peribadi berpandangan Muhyiddin dan Mukhruz wajar dipecat daripada parti UMNO kerana jelas bersekongkol dengan pembangkang.
Bagaimanapun, Tengku Adnan ataupun lebih dikenali sebagai Ku Nan berkata, isu pemecatan Muhyiddin dan Mukhriz wajar dibawa ke Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO terlebih dahulu untuk dibincangkan.
“Pada saya, saya sudah singkirkan mereka sejak dahulu lagi. Kita sudah lakukan laporan mengenai Mukhriz dan Muhyiddin dan kita akan bentangkan di Majlis Tertinggi untuk putuskan kerana Jawatankuasa Disiplin sudah menghantar semula keputusan untuk Majlis Tertinggi tentukan.
“Kertas siasatan sudah diberikan kepada kita (Majlis Tertinggi) dan biarlah mereka yang tentukan,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Mengulas lanjut, Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, satu mesyuarat khas akan diadakan minggu ini dan mesyuarat bulanan MT UMNO dijadualkan berlangsung hujung bulan ini.
Sebelum ini, Ahli MT, Datuk Seri Nazri Aziz memaklumkan yang beliau akan membawa usul pemecatan Muhyiddin, Mukhriz dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada mesyuarat MT akan datang.
Sementara itu, Tengku Adnan berkata, kedudukan Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna dalam UMNO masih boleh diselamatkan, memandangkan beliau tidak terlalu menyerlah bersama pembangkang.
“Dia tidak terlalu menyerlah sepentas bersama pembangkang. Terdapat beberapa masalah tetapi masih ada kelonggaran yang kita masih boleh pertimbangkan.
“Tetapi dua orang ini (Mukhriz dan Muhyiddin) sudah bersama pembangkang, jadi itu kita tidak boleh terima,” ujarnya lagi.
Muhyiddin digugurkan daripada jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri pada Julai 2015 dan kedudukannya sebagai Timbalan Presiden UMNO digantung pada 26 Februari lalu sehingga pemilihan parti akan datang.