Biografi ‘Being Abdullah Ahmad Badawi’ menyifatkan tindakan Muhyiddin secara terbuka menyerang Tun Abdullah atau Pak Lah suatu ketika dahulu disifatkan sebagai tindakan mengkhianat.
“Ramai rakan-rakan meminta saya pecat Muhyiddin. Apa yang dilakukannya tidak mencerminkan sebagai menteri kanan. Apa yang beliau katakan sangat teruk. Ianya satu pengkhianatan,” kata Pak Lah.
Muhyiddin pada ketika itu merupakan salah seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO berjawatan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menggesa Pak Lah melepaskan jawatan ekoran prestasi kurang memberangsangkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2004.
Tindakan Muhyiddin itu susulan serangan sama oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut menggesa Pak Lah melepaskan jawatan namun enggan bertindak demikian menyebabkan Perdana Menteri keempat itu akhirnya bertindak keluar UMNO.
Dr Mahathir terus menyerang UMNO dari luar parti manakala Muhyiddin terus mendesak Pak Lah untuk ‘segera turun’ dan memberi laluan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak bertindak sebagai Presiden seterusnya.
Pada November 2008, Muhyiddin menyatakan hasratnya untuk bertanding jawatan Presiden atau Timbalan Presiden untuk memberi tekanan kepada Najib mencabar kepimpinan Pak Lah.
Penulis biografi, Datuk Wong Sulong menjelaskan bahawa Pak Lah memberitahu rakan-rakannya bahawa “hatinya remuk” akibat tindakan Muhyiddin.
“Kemudian, Muhyiddin mencuba sedaya upaya untuk memohon maaf kepada Abdullah,” kata Wong.
Jelasnya, bekas pemimpin UMNO yang dipecat itu hanya berjaya memohon maaf kepada Pak Lah pada Perhimpunan Agung UMNO 2009.
Beliau seterusnya diangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas Pak Lah melepaskan jawatan dan Najib diangkat sebagai perintisnya.
Kini, setelah dipecat dari UMNO, Muhyiddin menubuhkan parti sendiri bersama Dr Mahathir membentuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Muhyiddin bertindak sebagai Presiden manakala Dr Mahathir diangkat sebagai Penasihat parti.