Muhyiddin gesa Najib arah kumpulan Baju Merah henti provokasi

Menurut Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin, tindakan itu perlu bagi membuktikan Najib prihatin terhadap rakyat khususnya melibatkan isu perkauman di negara ini.

Beliau berkata demikian sebagai respon terhadap dakwaan perdana menteri itu yang mengaitkan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai punca kepada ketegangan kaum di Malaysia.

“Dakwaan Najib bahawa masyarakat Melayu berpecah disebabkan tindak-tanduk Dr Mahathir dan Anwar adalah tidak lebih daripada cerita karut politik untuk menimbulkan rasa takut di dalam hati dan minda orang Melayu untuk mengundi parti selain daripada Umno yang terbukti telah rosak tanpa boleh diperbaiki lagi.

“Kami menentang Najib Razak kerana dia membiarkan pertubuhan rasis seperti kumpulan Baju Merah bermaharajalela sebagai satu cara untuk dia kekal berkuasa. Saya ingin menyatakan di sini bahawa sehingga hari ini, Najib Razak tidak permah mengecam kumpulan Baju Merah.

“Jika Najib Razak benar-benar prihatin tentang masalah hubungan kaum di Malaysia, dia sepatutnya telah mengarahkan Jamal Yunos dan kumpulan Baju Merah berhenti daripada membuat provokasi dan serangan terhadap peserta jelajah Bersih yang rata-rata komited untuk melihat perubahan sistem pilihanraya yang lebih telus dan adil di Malaysia,” katanya melalui satu kenyataan pada Ahad.

Muhyiddin dalam kenyataan yang sama berkata bahawa tuduhan Najib itu adalah sebagai satu helah untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap isu Akta Majlis Keselamatan Negara.

“Jangan pula komen-komen negatif Najib Razak terhadap Tun Dr Mahathir dan Anwar sekadar satu helah politik untuk menguatkuasakan Akta Majlis Keselamatan Negara yang bertujuan semata- mata untuk mendiamkan pengkritik.

“Rakyat tahu dan sedar siapa sebenarnya yang sedang berpaut pada dahan politik perkauman yang rapuh semata-mata untuk kekal berkuasa. Najib Razak, rakyat sedang memerhati gerak-geri anda dan masa anda sebenarnya semakin suntuk,” kata Ahli Parlimen Pagoh itu lagi.

Related Articles