Muhyiddin dapat kebenaran tangguh tuduhan ubah wang haram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini membenarkan penangguhan permohonan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengetepikan tiga tuduhan pengubahan wang haram sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan lewat bulan ini.

Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi berkata, keputusan ini dibuat bagi membolehkan rayuan segera oleh pihak pendakwaan terhadap pembebasan bekas perdana menteri itu daripada empat tuduhan salah guna kuasa selesai.

“Permohonan penangguhan dibenarkan atas kepentingan keadilan kerana ada keputusan segera yang perlu dibuat (di Mahkamah Rayuan),” katanya.

Tambahnya, beliau tidak mahu timbulnya gangguan memandangkan terdapat beberapa permohonan masih belum selesai di mahkamah ini.

Mahkamah Rayuan sebelum ini menetapkan 28 dan 29 Februari untuk mendengar rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan Muhyiddin daripada empat tuduhan salah guna kuasa berkait program Jana Wibawa.

Mahkamah Tinggi membebaskan Muhyiddin pada Ogos tahun lepas selepas membenarkan permohonannya untuk membatalkan empat tuduhan menyalahgunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah berjumlah RM232.5 juta untuk Bersatu.

Hakim Jamil Hussin berkata, tuduhan itu tidak mendedahkan sebarang kesalahan yang diketahui undang-undang dan tidak cukup jelas untuk membolehkan Muhyiddin, yang juga presiden Bersatu, menyediakan pembelaannya.

Pada Mei tahun lepas, Muhyiddin turut didakwa atas tuduhan pengubahan wang haram membabitkan sejumlah RM200 juta.

Susulan pembebasan daripada tuduhan salah guna kuasa, Muhyiddin turut memohon tuduhan pengubahan wang haram, yang menurutnya tidak berasas, diketepikan. Beliau meminta Mahkamah Sesyen membebaskan tanpa melepaskannya (DNAA). -Free Malaysia Today

Related Articles