Muhyiddin bersetuju penubuhan parti baharu‎ untuk lawan BN

Muhyiddin berkata, sekiranya cadangan itu menjadi kenyatan parti baharu itu perlu bekerjasama dengan semua pihak termasuk Pakatan Harapan, Pas dan pertubuhan masyarakat sivil untuk meneruskan perjuangan menyelamatkan Malaysia di samping mengambil langkah-langkah perlu untuk melakukan reformasi institusi.

“Saya telah berbincang dengan Tun Dr Mahathir, Datuk Seri Shafie Apdal, Datuk Seri Mukhriz dan rakan-rakan yang lain mengenai keperluan penubuhan sebuah wadah politik untuk meneruskan perjuangan ini menerusi penyertaan di dalam pilihanraya.

“Pada masa yang sama, saya juga akur bahawa penubuhan sebuah wadah politik baharu hanya akan berkesan sekiranya ia dipersetujui secara konsensus oleh rakan-rakan pimpinan parti-parti pembangkang yang lain.

“Untuk itu saya akan meneruskan perbincangan dengan pihak-pihak yang berkaitan sebelum memutuskan langkah selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan rasminya pada Sabtu.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad merancang untuk menubuhkan parti politik baharu dalam masa terdekat sebelum membentuk blok pembangkang yang lebih besar di negara ini.

Menurutnya, pihak yang menyokong Deklarasi Rakyat sebelum ini telah bersetuju terhadap perancangannya itu.

“Mereka bersedia menerima parti politik baharu jika ia berkongsi matlamat seperti mereka.

“Saya hanya pengasas. Tidak semestinya saya menjadi Presiden parti,” katanya pada sidang media selepas pertemuan dengan beberapa pimpinan pembangkang dan NGO di Yayasan Kepimpinan Perdana”, katanya.

Dalam pada itu, ujarnya beliau juga bersependapat dengan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, dan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Mohamed Ali dan beberapa pimpinan PH dan Pas yang lain bahawa parti-parti pembangkang perlu kembali berunding untuk mewujudkan kesepakatan dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.- Sinar Harian

Related Articles