MoU Antara Itochu Aviation Bersama Elbit Systems Dibatalkan – FamilyMart

by Anis

KUALA LUMPUR: FamilyMart tampil dengan penjelasan penuh berhubung dakwaan syarikat induknya bekerjasama dengan Israel.

Menerusi kenyataan rasmi, ia memaklumkan Itochu Aviation, anak syarikat Itochu Corporation mengumumkan pembatalan Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan syarikat berkaitan Israel, Elbit Systems.

FamilyMart Malaysia yang juga anak syarikat Itochu Corporation yang berpengkalan di Jepun, berkata, Itocgu Aviation mengambil tindakan tersebut semalam.

“Kami ambil maklum mengenai seruan di media sosial untuk memboikot FamilyMart di Malaysia.“Pada Mac 2023, ia dilaporkan Itochu Aviation telah menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Nippon Aircraft Supply dan Elbit Systems untuk mengimport teknologi pertahanan ke Jepun bagi tujuan keselamatan negara Jepun.

“Kami dimaklumkan hari ini (5 Februari 2024) oleh FamilyMart Co., Ltd Japan bahawa Itochu Aviation akan menamatkan MoU tersebut, seperti yang dilaporkan dalam berita di Jepun,” katanya dalam kenyataan semalam.

FamilyMart Malaysia memaklumkan keputusan tersebut dibuat bagi mengikuti langkah kerajaan Jepun yang menyokong terhadap perintah Mahkamah Keadilan Antarabangsa baru-baru ini.

“FamilyMart Malaysia ingin mengulangi pendirian bahawa kami tidak menyokong keganasan atau pembunuhan. FamilyMart Malaysia tidak menyumbang atau menderma atau berurusan dengan Israel,” katanya.

Terdahulu, rakyat Jepun telah pun menggesa orang ramai untuk memboikot kedai FamilyMart baru-baru ini.Ini kerana pemegang saham terbesar FamilyMart adalah Itochu Corp yang dikatakan bekerjasama dengan Israel.

Seruan untuk memboikot FamilyMart juga telah diadakan di hadapan ibu pejabat syarikat penerbangan Itochu.

Netizen Malaysia menerusi media sosial juga dilihat mula meluahkan hasrat untuk memboikot kedai serbaneka berkenaan selepas mengetahui tentang pemegangan saham tersebut serta kerjasama dengan syarikat Israel. – The Rakyat Insight

Related Articles