Seorang anggota polis maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas di Kilometer 140 Lebuh Raya Utara Selatan arah Utara berhampiran Juru Auto City dekat sini semalam.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, kejadian 11 malam itu menyebabkan Konstabel Nur Hazim Abdul Hamid, 29, meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mangsa ketika itu dalam perjalanan dari kampung halaman di Kampung Pinang Seberang, Kamunting, Perak menuju ke tempat bertugas di Balai Polis Dato Keramat.
“Bagaimanapun, motosikal yang ditungganginya dikatakan terbabas sendiri sebelum mangsa dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian.“Jenazah mangsa akan dibawa pulang ke kampung halamannya untuk dikebumikan selepas selesai proses bedah siasat di Hospital Seberang Jaya tadi,” katanya hari ini.
Difahamkan anggota tersebut sudah berkhidmat hampir tiga tahun sebagai anggota tugas am di Balai Polis Dato Keramat.
Terdahulu, Mohamed Usuf melakukan lawatan kebajikan sebagai tanda keprihatinan pihak polis terhadap anggotanya selain memberi sokongan moral kepada ahli keluarga termasuk memastikan aspek kebajikan terus terpelihara.
Jenazah mangsa dikebumikan di kampung halamanya di Taiping, Perak.
“Saya mewakili seluruh Polis Pulau Pinang menzahirkan ucapan takziah buat ahli keluarga Allahyarham Nur Hazim,” katanya.
Lawatan tersebut turut dihadiri Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris dan Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Zafri Zolkapli.