MIC mahu tanding 9 kerusi Parlimen, 19 kerusi DUN dalam PRU14

Presidennya Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata keputusan pengagihan kerusi tersebut masih dalam perbincangan bersama Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Razak.

“Kita akan berbincang dengan parti komponen Barisan Nasional (BN) dan ada kemungkinan kerusi MIC akan dipindahkan ke kawasan lain,” katanya dalam sidang media bersempena Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-70 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di ibu negara, hari ini.

Pada PRU13, BN memenangi 133 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan dengan MIC menyumbangkan empat kerusi.

Terdahulu, Dr Subramaniam dalam ucapan dasarnya berkata melalui 11 Pelan

Tindakan Pembangunan MIC, parti itu kini dalam proses mendekati masyarakat melalui pelbagai program dengan keutamaan kepada isu berkaitan generasi muda atau belia.

Ini termasuk cadangan menubuhkan 500 cawangan baharu dengan kesemuanya diketuai siswazah sebelum penghujung Disember 2016, sebagai sebahagian daripada program peremajaan parti seiring keadaan politik semasa.

Dr Subramanian yang juga Menteri Kesihatan berkata BN juga perlu melabur lebih banyak dalam mengukuhkan penggunaan media sosial dalam memerangi persaingan persepsi pada PRU14 nanti.

Menyifatkan pilihan raya umum akan datang sebagai ‘ibu segala pilihan raya umum”, beliau mahu transformasi dalam semangat BN dilaksanakan untuk mengukuhkan konsep perkongsian kuasa antara pelbagai kaum bagi mempertahankan gabungan kepimpinan yang sudah 60 tahun mentadbir negara.

Dalam pada itu, Dr Subramaniam dalam ucapannya turut membangkitkan peluang masyarakat India dalam sektor awam yang disifatkan belum menunjukkan perubahan walaupun perdana menteri telah meluluskan 1,500 jawatan tetap bagi kaum itu tahun lepas.

“Sehingga kini tiada pelantikan dapat dibuat kerana Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) berkata tidak wujud keperluan untuk jawatan itu,” katanya.

Presiden MIC itu turut menyentuh isu-isu pendidikan, peluang pekerjaan, perumahan, perniagaan mikro, penambahbaikan latihan kemahiran, kesihatan dan bantuan sosio-psikologi.– Bernama

Related Articles