MH370 mungkin terhempas di utara kawasan pencarian

Pengembara Blaine Gibson menyerahkan tiga serpihan dan barangan peribadi yang ditemui di pantai Madagascar pada Jun lalu kepada pihak berkuasa Malaysia di Kuala Lumpur kelmarin, yang beliau percaya dari pesawat Boeing 777 yang hilang bersama 239 orang di dalamnya ketika penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Enam lagi serpihan yang berpotensi ditemui Gibson sedang menunggu kebenaran pihak berkuasa Madagascar bagi membolehkan Malaysia mengutipnya.

Pakar oseanografi Universiti Western Australia, Charitha Pattiaratchi berkata, beliau memberitahu kepada Gibson bahawa serpihan pesawat MH370 kemungkinan besar tertumpu di Madagascar.

Nasihat awal Pattiaratchi menjadi dorongan kepada Gibson pergi ke Mozambique di mana beliau menemui serpihan pada Februari yang pakar kemudiannya mengesahkan ia adalah dari pesawat MH370.

“Beliau menelefon saya dari Maldives dan cakap: ‘Ke mana patut saya pergi? Patutkah saya ke Rodrigues, Mauritius, Reunion, Madagascar, Mozambique, Africa Selatan?'” kata Pattiaratchi.

“Saya kata: ‘Ramalan terbaik anda ialah bahagian timur laut Madagascar,’ tempat yang ternyata beliau pergi.”

Pattiaratchi berkata, contoh pengiraan yang sama membuatkan pasukan pakar oseanografinya yakin bahawa pesawat berkenaan mungkin terhempas dekat utara kawasan pencarian di selatan Lautan Hindi.

“Ramalan terbaik ialah kami berpendapat ia mungkin di sekitar wilayah Broken Ridge, yang hampir ke utara kawasan yang sedang dicari,” katanya. – AP

Related Articles