Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, setakat ini tiada asap dan debu daripada gunung itu sampai ke Malaysia dan sehingga 12 tengah hari tadi, tiada letusan susulan berlaku.
“Tiada asap (dan) debu dari gunung berapi Sinabung sampai ke negara ini kerana kelajuan angin di permukaan sehingga paras 5,000 kaki adalah lemah,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, MetMalaysia akan memantau secara berterusan pergerakan asap dan debu letusan gunung berapi itu di kawasan ruang udara (FIR) Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu.
“Sekiranya berlaku letusan susulan dan asap (dan) debu itu memberi kesan kepada penerbangan dalam FIR tersebut, nasihat asap (dan) debu untuk penerbangan akan dikeluarkan,” katanya.
Enam penduduk tempatan dilaporkan maut manakala tiga lagi kritikal akibat terkena debu panas gunung berapi di daerah Karo, Sumatera Utara itu yang meletus Sabtu lepas. – Bernama