Mesyuarat Exco Kedah esok di hospital

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi negeri, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail, berkata keputusan mengadakan mesyuarat di hospital adalah perminataan Ahmad Bashah sendiri.

Menteri Besar Kedah itu berasakan keadaan kesihatan menunjukkan perkembangan baik dan juga semakin bersemangat untuk kembali bertugas.

Katanya sepanjang beliau menziarahi Ahmad Bashah, Menteri Besar Kedah itu asyik bertanyakan tenang pentadbiran kerajaan negeri.

“Saya sudah tiga kali ziarah beliau (Ahmad Bashah) di HPP dan kali terakhir saya ziarah, beliau nampak berbeza, lebih bertenaga dan ceria.

“Malah, memaklumkan dirinya sudah sihat dan boleh mempengerusikan mesyuarat yang dijadualkan setiap Rabu,” katanya ketika ditanya mengenai mesyuarat EXCO di HPP itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program Ihya Ramadan di Masjid Sultanah Haminah, di sini malam tadi.

Ahmad Bashah menjalani pembedahan di HPP pada 7 Jun lalu akibat komplikasi usus selepas dipindahkan dari Kedah Medical Centre (KMC).

Ku Abd Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak, berkata keputusan dibuat Ahmad Bashah mendapat kelulusan doktor yang mengesahkan kesihatannya bertambah baik.

“Saya yakin mesyuarat ini tidak akan menjejaskan kesihatannya kerana jika tidak sihat, sudah tentu doktor tidak membenarkan ia dilakukan,” katanya.

Ditanya mengenai agenda yang akan dibangkitkan ketika mesyuarat EXCO nanti, beliau berkata tiada sebarang agenda yang pelik daripada kebiasaan.

Related Articles