Menteri, timbalan menteri baharu angkat sumpah hari ini

Upacara itu berlangsung di Bilik Singgahsana Kecil, Istana Negara pada 11.30 pagi.

Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan barisan menteri Kabinet. Selepas Johari, Tan Sri Noh Omar pula mengangkat sumpah sebagai Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Ini diikuti Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri S K Devamany; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz; Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Henry Sum Agong dan Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur.

Mereka kemudian melafazkan ikrar dan taat setia sebelum menandatangani dokumen rasmi pelantikan dengan disaksikan Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Dalam rombakan dan penyusunan semula Kabinet yang diumumkan Najib semalam, Noh, yang juga bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, dibawa masuk untuk menerajui Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan manakala Johari, yang sebelum ini Timbalan Menteri Kewangan, dinaikkan pangkat sebagai Menteri Kewangan Kedua.

Perdana menteri turut memaklumkan bahawa Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah menamatkan perkhidmatannya sebagai Menteri Kewangan Kedua atas sebab peribadi, selain akan menyusun semula tugas menteri-menteri di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Penyusunan semula Kabinet itu turut membabitkan pertukaran portfolio menteri sedia ada iaitu Menteri di Jabatan Menteri, Datuk Seri Mah Siew Kiong sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Najib juga mengumumkan pelantikan tiga timbalan menteri baharu dan seorang bekas timbalan menteri ke dalam Kabinet, selain pertukaran dua portfolio timbalan menteri bagi memantapkan pentadbiran.

Perdana Menteri berkata rombakan Kabinet kali ini bertujuan mengisi kekosongan menteri dan timbalan menteri Persekutuan. – Bernama

Related Articles